Blogger Layouts

I made this widget at MyFlashFetish.com.

zikrullah n doa

Isnin, 7 Mac 2011

Mengapa~

Mengapa aku sering mengharapkan benda yang tak pasti
Dalam hidup ini
Pilihan sudah terbantang di depan mata ku
Pilihan yang pasti membahagiakan aku
Kenapa aku mesti memilih  sesuatu yang

Tidak mungkin akan menjadi milikku
Kenapa?
Jawablah wahai diri
Kenapa kau sering bermain dengan api
Api yang akan membakar diri kau
Tidakkah kau sedar
Apa yang telah kau lakukan
Kenapa kau tidak berfikir dahulu
Sebelum kau membuat keputusan

Aku keliru!
Aku buntu!
Aku benci dengan situasi ini!
Situasi yang menjerut diriku
Mematikan diriku!
Menghancurkan diriku!


Lupakanlah :(

Tolonglah wahai diri
Kenapa kau masih tak mampu
Membiarkan perasaan itu berlalu pergi
Harapan dan impian itu hancur berkecai
Sehancur hatimu
Janganlah kau berharap lagi
Biarlah ia berterbangan di awanan nan kelam itu

Bintang yang bersinar itu
Terlalu jauh
Terlalu sukar untuk kau gapai
Sedarlah wahai diri
Kau tidak layak untuk memiliki bintang secantik itu

Wahai diri
Kau amat berharga
Janganlah kau menyeksa dirimu lagi
Janganlah kau menyeksa jiwamu yang lemah itu
Biarkan saja perasaan itu berlalu
Biarlah hatimu bebas
Bebas  dari perasaan
Yang tidak kan pernah berbalas

Lupakan semua!
Mulakan hidup baru
Carilah bintang yang layak buat dirimu
Bintang yang mampu kau miliki selamanya

seorang gadis itu (",)



Seorang gadis itu
Ku lihat dia berteleku
Di atas sejadahnya
Ku lihat butiran mutiara
Bersinar menitik
Dari pipinya itu

Seorang gadis itu
Menangis kehibaan
Mengingati dosa silamnya
Yang tiada siapa pun tahu
Kekesalan mencengkam
Diri dan hati kecilnya
Menjerut perasaannya

Seorang gadis itu
Ku lihat dahulunya bersinar-sinar
Bak permata yang berkilauan
Di balik pasiran pantai
Senyuman dan tawa
Sering menghiasi bibirnya
Merah bak delima

Seorang gadis itu
Mengapa wajah kau suram
Wahai sayang
Allah senantiasa berada di sisimu
Janganlah kau berduka lagi
Mohonlah keampunan dari-Nya
Dia yang Maha Esa


dipetik dari blog sahabat (",)

Buatmu Sayangku

Kepada insan yang aku sayangi,

Wahai sayangku, mengapa kau sering bersedih hati? Mengapa matamu yang indah itu sering kau basahi dengan airmata? Janganlah kau bazirkan airmata mu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri. Apakah kau lupa pada Pencipta kita? Ingatlah kau tidak pernah keseorangan tatkala kau merasakan dunia ini meminggirkan kau. Tahukah kau bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria? Ujian itu tarbiyyah kepada kita. Kadang kala kita berasa begitu lemah dan tidak mampu menanggung bebannya.  Ada ketika kita berasa letih menghadapi ujian yang melanda diri. Tapi ingatlah sayang, Allah s.w.t tidak akan menurunkan sesuatu ujian itu jika kita tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, kau hadapinya dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan hamba-Nya yang sabar.Cuba kau renungi sepotong Kalamullah ini;

“Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. Dia akan mendapat pahala atas usahanya dan mendapat seksa atas kesalahannya, (lalu dia berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah.”

                                                                        (Surah Al-Baqarah 2:286)


Kau juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang  dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu. Ingatlah pada Khaliq Maha Pencipta. Dia akan sentiasa berada di sisimu tidak kira kau dalam kesenangan mahupun kesusahan.Maka, sekalah airmatamu itu. Tabah dan teruskan perjuangan kau dengan aman. Berhentilah dari berkeluh-kesah kerana keluh-kesah itu datangnya dari bisikan syaitan durjana. Mintalah pada-Nya supaya kau diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melalui dugaan hidup.

Sayangku, si manis.

Ingin aku layangkan setitip pesanan buat diri mu dan juga diri ku ini. Kita hanya menumpang hidup di dunia Allah yang fana ini. Dunia ini umpama kita berjalan di dalam hutan yang penuh dengan duri-duri yang tajam serta binatang buas yang sering kali kita tidak sedari. Kadang kala kita alpa dengan keindahan dan ketenangannya. Lupa pada bahaya yang setia menanti di hadapan sana. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan terluka di cucuk duri-duri tajam yang berbisa itu. Kau akan merintih dan mengaduh kesakitan. Menangis dan mengharapkan pertolongan. Sayang, kita harus berhati-hati kerana terdapat banyak binatang buas di dalam hutan yang sedang kau lalui itu. Mereka hanya menunggu masa untuk menyerang mangsanya. Andai kata kau tersilap langkah, kau akan diterkam dan dibaham oleh binatang-binatang itu. Begitulah jugalah kehidupan kita. Dalam mengharungi hidup yang penuh dengan ranjau berduri, kita sering berhadapan dengan masalah yang sering meyesakkan jiwa dan minda kita. Kadang kala masalah itu sendiri meragut ketenangan hati sesorang insan. Fikiran melayang entah ke mana dan jiwa itu tidak pernah tenteram. Mulalah fikiran negatif berlegar-legar di minda. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran.Hati tidak keruan memikirkan masalah. Insan yang lemah itu mula melupakan pada Penciptanya yang Maha Esa. Lupa segalanya. Janganlah kau menjadi seperti itu. Jangan kau lupakan siapa yang mencipta dirimu dan apa tawajuh kehidupan kau sebenarnya sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Hilangkanlah segala kesedihan. Kau pujuklah hatimu dengan janji Ar-Rahman. Sesungguhnya kau akan berasa lebih tenang. La Tahzan, wahai sayang!

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”

                                                                    (Surah Ali Imran:139)

Wahai sayang,

Aku mengerti apa yang kau rasakan di dalam hatimu itu. Jiwa kau terhimpit dengan penyesalan. Kau berasa gusar di atas kealpaan kau suatu ketika dahulu. Dirimu dipalit dengan dosa-dosa hitam. Aku sering mendengar kau merintih pada Allah s.w.t. tatkala kau berteleku di tikar sembahyangmu. Menangislah kerana Allah s.w.t. Jika kau mengalirkan airmata keinsafan, itu amat bermakna buatmu. Cara itu mampu mendekatkan kau dengan-Nya. Mintalah pada-Nya keampunan dan kemaafan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Ambillah iktibar dari firman Allah s.w.t ini;

“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu kau meminta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika kau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan keampunan seluas bumi pula.”

               (Riwayat Al-Tarmizi no: 3534 dan Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)


Jadikan kisah silammu itu sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Sematkanlah di dalam hati supaya kau tidak akan sesekali mengulanginya lagi. Berpegang teguh pada tali agamamu. Ingatlah pada ajaran Islam. Rasul bermadah bahawa “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.”  Kau harus ingat sayangku. Kau amat beruntung dilahirkan dalam Ad-Din yang sempurna ini. Teruskanlah dengan membasahi bibirmu yang mungil itu dengan zikrullah dankalamullah serta bermunajatlah pada Allah. Percaya dan yakin bahawa Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan mengurniakan maghfirah buat dirimu, sayangku. Kita adalah hamba yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Kesilapan akan menguatkan diri kita.

Akhir kali ingin aku katakan, berusahalah sedaya yang kau mampu dan letakkanlah penggantunganmu kepada Allah.


Dari,
Insan yang menyayangi dirimu (",) >*****<

SHIFAT SALAM RASULULLAH





Segala puji bagi Allah semata dan shalawat serta salam semoga sentiasa dicurahkan kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam yang tiada Nabi setelahnya.

Sesungguhnya salam itu merupakan sunnah terdahulu sejak zaman Nabi Adam ‘alaihi salam sehingga ke hari kiamat, dan salam merupakan ucapan para penghuni syurga, Dan ucapan mereka di dalamnya adalah salam. Salam merupakan sunnah para Nabi, tabiat orang-orang yang bertakwa dan semboyan orang-orang yang suci. Namun, dewasa ini, benar-benar telah terjadi kekejian yang nyata dan perpecahan yang terang di tengah-tengah kaum muslimin! Jikalau engkau melihat mereka, ada saudara semuslim yang melintasi mereka, mereka tidak mengucapkan salam kepadanya. Sebahagian lagi hanya mengucapkan salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja, bahkan mereka merasa aneh ketika ada orang yang tidak dikenalinya memberi salam kepadanya, mereka mengingkarinya dengan menyatakan “Apakah anda mengenali saya?”.

Sedangkan yang sedemikian itu merupakan penyelisihan terhadap perintah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, sehingga menyebabkan semakin menjauhnya hati-hati mereka, semakin merebaknya perangai-perangai kasar dan semakin bertambahnya perpecahan. Bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam: “Tidaklah kalian akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan tidaklah kalian dikatakan beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan kepada sesuatu yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai, iaitu tebarkan salam di antara kalian.” (HR Muslim).

Di dalam hadits Muttafaq ‘alaihi, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, “Islam bagaimanakah yang baik?” Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali mahupun yang tidak engkau kenali.” (Muttafaq ‘alaihi).

Maka yang demikian ini merupakan suatu anjuran untuk menyebarkan salam di tengah-tengah kaum muslimin, dan bahawasanya salam itu tidaklah terbatas kepada orang yang engkau kenali dan sahabat-sahabatmu sahaja, namun untuk keseluruhan kaum muslimin.

Adalah Abdullah Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu pergi ke pasar pada pagi hari dan berkata : “Sesungguhnya kami pergi bertolak pada pagi hari adalah untuk menyebarkan salam, maka kami mengucapkan salam kepada siapa saja yang kami jumpai.”

Salam itu menunjukkan ketawadhu’an seorang muslim, ia juga menunjukkan kecintaan kepada saudaranya yang lain. Salam menggambarkan akan kebersihan hatinya daripada dengki, dendam, kebencian, kesombongan dan rasa memandang rendah kepada orang lain. Salam merupakan hak kaum muslimin antara satu dengan lainnya, ia merupakan sebab tercapainya rasa saling mengenali, bertautnya hati dan bertambahnya rasa kasih sayang serta kecintaan. Ia juga merupakan sebab diperolehnya kebaikan dan sebab untuk seseorang masuk syurga. Menyebarkan salam adalah salah satu bentuk menghidupkan sunnah Mustofa Shalallahu ‘alaihi wa sallam.

Bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam: “Lima perkara yang wajib bagi seorang muslim ke atas saudaranya, menjawab salam, mendo’akan orang yang bersin, memenuhi undangan, menjenguk orang sakit dan menghantarkan jenazah.” (HR Muslim).

Wajib bagi sesiapa yang diberi salam menjawab dengan jawapan yang serupa sebagai bentuk ittiba’ terhadap perintah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam. Dari Abi Sa’id Al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Jauhilah oleh duduk-duduk di pinggir jalan!” mereka berkata, “Ya Rasulallah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap di dalamnya.” Maka Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Jika engkau enggan meninggalkannya, maka berilah haknya jalan.” Mereka berkata, “Apakah haknya jalan itu wahai Rasulullah?” menjawab Rasulullah, “Mennundukkan pandangan, menyingkirkan gangguan, menjawab salam serta amar ma’ruf nahi munkar.” (Muttafaq ‘alaihi).

Imam Nawawi Rahimahullah berkata : “Ketahuilah, sesungguhnya memulai salam itu adalah sunnah, dan membalasnya adalah wajib. Jika si pemberi salam itu jumlahnya ramai, maka yang demikian ini merupakan sunnah kifayah ke atas mereka, maksudnya jika sebahagian telah mengucapkan salam bererti mereka telah melaksanakan sunnah salam atas hak keseluruhan mereka. Jika yang diberi salam seorang diri, maka wajib ke atasnya menjawabnya. Jika yang diberi salam ramai, maka menjawabnya adalah fardhu kifayah atas hak mereka, maksudnya jika salah seorang daripada mereka telah menjawabnya maka gugurlah kewajipan bagi yang lainnya. Namun, yang lebih utama adalah memulai memberi salam secara bersama-sama dan menjawabnya dengan bersamaan pula.”


SIFAT SALAM

Berkata Imam Nawawi, “Ucapan salam minima dengan perkataan ‘assalamu’alaikum’, jika yang diberi salam seorang diri, maka minima dia mengucapkan ‘assalamu’alaika’, namun adalah lebih utama jika dia mengucapkannya dengan ‘assalamu’alaikum’, kerana kalimat ini mencakupi do’a bagi dirinya dan yang bersamanya (malaikat, pent.). Dan alangkah sempurna lagi dia menambahkan ‘warohmatullahi’ dan ‘wabarokatuh’, walaupun sebenarnya kalimat ‘assalamu’alaikum’ telah mencukupi.”


MENJAWAB SALAM

Imam Nawawi berkata, “Adapun cara membalas salam, lebih utama dan lebih sempurna jika mengucapkan ‘wa’alaikum as-Salam wa rohmatullahi wa barokatuh’, dengan menambahkan huruf ‘waw’ (yang mendahului kata ‘alaikum) ataupun tidak menggunakannya (membuangnya), hal ini diperbolehkan namun meninggalkan keutamaan. Adapun meringkaskannya menjadi ‘wa’alaikumus salam’ atau ‘alaikumus salam’ sahaja sudah mencukupi. Sedangkan meringkaskannya menjadi ‘alaikum’ sahaja, menurut kesepakatan ulama’ tidaklah mencukupi, demikian pula dengan ‘wa’alaikum’ sahaja yang diawali dengan huruf ‘waw’.


TINGKATAN SALAM

Salam memiliki 3 tingkatan, tingkatan yang paling tinggi, paling sempurna dan paling utama adalah ‘Assalamu’alaikum warohmatullahi wabarokatuh’, kemudian yang lebih rendah daripadanya ucapan ‘assalamu’alaikum warohmatullah’ dan terakhir yang paling rendah adalah ‘assalamu’alaikum’. Seseorang yang mengucapkan salam (Musallim), boleh jadi mendapatkan ganjaran yang sempurna dan boleh jadi mendapatkan ganjaran di bawahnya, sesuai dengan salam yang dia ucapkan.” Hal ini sesuai dengan kisah tentang seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid dan saat itu Rasulullah dan para sahabat-sahabatnya sedang duduk-duduk, berkata lelaki tadi, “Assalamu’alaikum”, maka Nabi menjawab, “wa’alaikumus salam, sepuluh atasmu”, kemudian masuk lelaki lain dan berkata, “Assalamu’alaikum warohmatullah”, Rasulullah menjawab, “Wa’alaikumus Salam warohmatullah, dua puluh atasmu”. Tidak lama kemudian datang lagi seorang lelaki sambil mengucapkan “Assalamu’alaikum warohmaatullahi wabarokatuh”, maka jawab Rasulullah, “Wa’alaikumus Salam warohmatullahi wabarokatuh, tiga puluh atasmu”. (HR Abu Dawud dan Turmudzi), yang dimaksudkan adalah sepuluh, dua puluh dan tiga puluh kebaikan.


ADAB-ADAB SALAM

1. Disunnahkan tatkala bertemu dua jenis orang di jalan, iaitu orang yang berkenderaan supaya memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang sedikit kepada yang ramai dan yang muda kepada yang tua. Bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Hendaklah salam bagi yang berkenderaan kepada pejalan kaki, yang berjalan kaki kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang ramai.” (HR. Muslim).

2. Sayogiyanya orang yang hendak memberikan salam kepada kaum muslimin dengan mengucapkan salam dan bukan dengan ucapan ‘selamat pagi’ atau ‘selamat datang’ ataupun ‘hello’, hendak dia memulainya dengan salam kemudian baru dia boleh menyambutnya dengan sapaan yang diperbolehkan di dalam Islam.

3. Disukai bagi seorang muslim yang akan masuk ke rumahnya, mengucapkan salam terlebih dahulu, kerana sesungguhnya berkah itu turun beserta salam, bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Jika engkau hendak masuk ke rumahmu, hendaklah engkau salam, nescaya berkah akan turun kepadamu dan keluargamu.” (HR Turmudzi). “Dan jika tidak ada seorangpun di dalamnya, maka ucapkan, Assalamu’alainaa ‘ibaadillahish shaalihin.” (HR Muslim).

4. Sayogiyanya mengucapkan salam itu dengan suara yang dapat didengar namun tidak mengganggu orang yang mendengar dan membangunkan orang yang tidur. Dari Miqdad Radhiallahu ‘anhu berkata : “Kami mengangkat untuk Nabi bahagiannya daripada susu, dan beliau tiba saat malam, mengucapkan salam dengan suara yang tidak membangunkan orang yang tidur dan dapat didengar oleh orang yang jaga.” (HR Muslim).

5. Dianjurkan untuk memberikan salam dan mengulanginya lagi jika terpisah daripada saudaranya, walaupun hanya dipisahkan oleh tembok. Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda, “Jika seseorang di antara kalian bertemu dengan saudaranya, hendaklah dia memberinya salam, dan jika terpisah antara keduanya oleh pohon, tembok ataupun batu besar lalu bertemu kembali, hendakla kalian mengucapkan salam lagi kepadanya.” (HR Abu Dawud).

6. Ramai ulama’ memperbolehkan seorang lelaki mengucapkan salam kepada seorang wanita, dan sebaliknya, selama aman daripada fitnah, sebagaimana seorang wanita mengucapkan salam kepada mahramnya, maka wajib juga atasnya untuk menjawab salam daripada mereka. Demikian halnya seorang laki-laki kepada mahramnya wajib atasnya menjawab salam dari mereka. Jika dia seorang ajnabiyah (wanita bukan mahram), maka tidaklah mengapa mengucapkan salam kepadanya ataupun membalas salamnya jika wanita tersebut yang mengucapkan salam, selama aman daripada fitnah, dengan syarat tanpa bersentuhan tangan/jabat tangan dan mendayu-dayukan suara.

7. Daripada hal-hal yang tersebar di kalangan manusia adalah menjadikan salam itu berbentuk isyarat atau memberi tanda dengan tangan. Jika seseorang yang mengucapkan salam itu jauh, maka mengucapkan salam sambil memberikan isyarat tidaklah mengapa, selama dia tidak dapat mendengarmu, kerana isyarat ketika itu menjadi penunjuk salam dan tidak ada pengganti selainnya, juga demikian dalam membalasnya.

8. Dianjurkan bagi orang yang duduk mengucapkan salam ketika dia hendak berdiri di dalam majlisnya. Sebagaimana sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam, “Jika kalian mendatangi suatu majlis hendaklah memberi salam, dan jika hendak berdiri seyogiyanya juga memberi salam, dan tidaklah yang pertama itu lebih berhak daripada yang terakhir”. (HR. Abu Dawud)

9. Disunnahkan berjabat tangan ketika memberi salam dan memberikan tangannya kepada saudaranya. Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tidaklah bertemu dua orang muslim kemudian berjabat tangan kecuali Allah akan mengampuni dosanya sebelum berpisah”. (HR. Abu Dawud dan Turmudzi).

10. Menunjukkan wajah yang ceria, bermanis muka dan tersenyum ketika salam. Sebagaimana sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Senyummu kepada saudaramu itu sedekah”, dan sabdanya pula “Janganlah engkau remehkan suatu kebajikan sedikitpun, walaupun hanya bermanis muka terhadap saudaramu”. (HR. Muslim)

11. Disunnahkan memberi salam kepada anak-anak sebagaimana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam sentiasa melakukannya, dan yang demikian ini adalah suatu hal yang menggembirakan mereka, menanamkan rasa percaya diri dan menumbuhkan semangat menuntut ilmu di dalam hati mereka.

12. Tidak diperbolehkan memulai salam kepada orang kafir sebagaimana di dalam sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Janganlah mendahului Yahudi dan Nasrani dengan ucapan salam, jika engkau menemui salah seorang daripada mereka di jalan, desaklah hingga mereka menepi dari jalan”. (HR. Muslim) dan bersabda pula Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Jika ahli kitab memberi salam kepadamu maka jawablah dengan wa’alaikum” (mutafaq alaihi).

Maka hidupkanlah, wahai hamba Allah sunnah yang agung ini di tengah-tengah kaum muslimin agar lebih mempereratkan hati-hati kalian dan menyatukan jiwa-jiwa kalian serta untuk meraih ganjaran dan pahala di sisi Allah. Semoga salam dan shalawat senantiasa tercurahkan atas Nabi, keluarga baginda dan shahabat-shahabat baginda seluruhnya. Amin..

UJIAN DAN MUSIBAH : ALLAH S.W.T MAHU BERKENALAN DENGAN HAMBA-HAMBA NYA

Setiap manusia, pasti melalui suatu masa yang dikenali dengan MUSIBAH atau masa KESULITAN. Kehidupan seseorang manusia tidak terlepas dari kesusahan, kesulitan, musibah dan sebagainya. Kadang kala, ia menyebabkan seseorang putus-asa dan ada juga yang sampai sanggup untuk membunuh diri dan sebagainya, hasil dari kekecewaan yang menimpa mereka dari kesulitan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan.

Namun, jika musibah dan kesulitan ditafsirkan dengan tafsiran yang sempurna, ianya tidak akan membuatkan seseorang putus-asa tetapi sebaliknya ia mampu memberi suatu kekuatan baru kepada seseorang, dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)
Berdasarkan ayat-ayat tersebut, didapati bahawa, seseorang yang mengaku beriman, pasti akan diuji oleh Allah s.w.t., sehingga terbukti sama ada seseorang itu benar-benar beriman atau berdusta dalam mengaku beriman.

Dalam kitab-kitab hadis juga, banyak menukilkan tentang hadis-hadis yang menyebutkan tentang ujian Allah s.w.t. terhadap para hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Golongan yang paling kuat diuji dengan bala adalah golongan para Nabi, kemudian golongan yang mengikuti mereka dan seterusnya".
Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…"

Jika kita lihat dalam lipatan sejarah, kita dapati bahawa, Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang paling dikasihi Allah s.w.t. sendiri, diuji dengan pelbagai ujian, termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya. Begitu juga dengan para Nabi yang lain, seperti Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Ayub a.s., dan selain dari mereka.

Persoalannya, apakah rahsia di sebalik ujian-ujian Allah s.w.t. terhadap para kekasih-Nya?
Rahsia Umum di Sebalik Musibah dari Allah s.w.t.

Para sufi dan ahli makrifah telahpun menjelaskan kepada kita, hakikat sebenar di sebalik ujian-ujian dan musibah yang menimpa seseorang muslim.

Secara umumnya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan musibah kepada seseorang kerana tiga sebab, sesuai dengan jenis orang yang ditimpa musibah tersebut.

Pertama: Andainya Allah s.w.t. menimpakan musibah dan bala kepada golongan musuh Allah s.w.t., dan golongan yang bersikap sombong dengan Allah s.w.t., dari kalangan orang-orang kafir dan golongan fasiq, maka ia merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan kepada mereka di dunia lagi.

Kedua: Andainya Allah s.w.t. menurunkan musibah kepada orang-orang mu'min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t., dengan melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan buat mereka supaya mereka kembali kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di hadrat Ilahi s.w.t. dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia merupakan suatu kenikmatan dalam kesulitan.

Ketiga: Andainya Allah s.w.t. memberi musibah kepada golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas di kalangan hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka musibah tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah s.w.t., dengan kesabaran mereka.

Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi

Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu "ta'aruf" atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.

Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:

Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagianya.
Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya dengan sifat-sifat jalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya) di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong.

Dalam kondisi ini, seseorang hamba yang jujur dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..
Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji dengan musibah, perlu redho dengan setiap suratan dan ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah s.w.t..

Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.

Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya.

Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan tersebut, dengan sifat-sifat Jamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut, bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula, hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap biadab di hadapan Allah s.w.t.

Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan Allah s.w.t.

Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.

Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t., sama ada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah s.w.t..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...