Blogger Layouts

I made this widget at MyFlashFetish.com.

zikrullah n doa

Selasa, 31 Mei 2011

~Gadis Manis Itu~

Gadis manis itu

Masih mampu tersenyum ceria

Menyembunyikan luka di dada

Tanpa membuat sesiapa curiga


Gadis manis itu

Berikan bahagia pada semua

Tanpa memikirkan siapa dia atau mereka

Baginya semua adalah keluarga


Gadis manis itu

Dalam hatinya seribu rahsia

Tidak mampu dicungkil oleh sesiapa

Kerna baginya itu adalah haknya

Berkongsi dengan orang tertentu sahaja


Gadis manis itu

Hatinya selembut sutera

Gayanya indah bersahaja

Keikhlasan menemani setiap langkahnya


Dalam diam..

Hati gadis itu melakar derita

Namun tidak pernah dikhabar pada semua

Dilabuhkan doanya buat Sang Pencipta

Kerana dia yakin dengan kekuasaan Yang Maha Esa

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya

Hikmah yang tersembunyi di alam nyata

Hanya diketahui pabila tiba masanya


Gadis manis itu

Mula berbicara

Wahai penghuni dunia

Jangan pernah rasa sangsi dan curiga

Yakinlah rahmat Allah ada dimana-mana

Menemani kita sepanjang masa

Tanpa mengira siapa kita


Pesannya pada semua

Melangkahlah selagi terdaya

Kenali la erti penat jerih yang ada

Tinggalkan rasa putus asa

Kerana kita hidup hanya sementara

Hargailah nikmat yang masih ada

Teruskan perjuangan di dunia

Demi kebahagiaan di akhirat yang selama-lamanya..

Harumnya Masyitah

kehebatan iman Masyitah, tukang sisir rambut anak Firaun.
Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan
pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung
dan memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan
membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.

Masyita walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam hati kecilnya
tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan
segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai
Tuhan. Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun
dan sekutunya.

Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat di tangannya
terjatuh. Masyita terlatah dan berkata "Mampus Firaun! " Apabila anak Firaun
mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia berkata, "Kenapa kau
berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?"

"Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata
itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan
beritahu bapaku." Masyita bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu
bapa kau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah
Allah."

Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang Masyita, dia menjadi
murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya sama ada benar apa yang dikatakan
oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan Tuhannya ialah Allah. Firaun
mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya sekiranya dia tidak mengubah
pendiriannya.

Keesokannya keluarga Masyita dibawa ke satu tempat lapang, berhadapan dengan
sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang sangat panas. Firaun
hendak memasukkan kesemua keluarga Masyita termasuk anaknya yang masih kecil
ke dalam minyak panas sekiranya Masyita tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.
Keimanan Masyita tidak luntur meskipun berhadapan dengan ancaman maut.

Melihatkan iman Masyita yang tidak berganjak, Firaun menyuruh askarnya
mencampakkan keluarga Masyita seorang demi seorang ke dalam kawah yang besar
itu. Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan Masyita menjadi
belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang disayangi akan
dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyita
meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba
dengan kuasa Tuhan, anaknya yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu,
jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu."
Masyita dan orang-orang di sekeliling terperanjat melihat seorang bayi boleh
berkata-kata.

Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyita menjadi semakin yakin dan tabah.
Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas
kesihan askar Firaun terus melontarkan anak Masyita ke dalam minyak panas.
Selepas itu barulah Masyita dibawa ke tepi kawah yang panas itu lalu
dicampakkan ke dalamnya.

Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan kebenaran aqidah sehingga dia
dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian seorang wanita
memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun
oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi sampai di satu
tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan bahawa tempat itu
ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.

CANTIK DI HATI

cantiknya seorang wanita itu sebagai gadis 
bukan kerana merah kilauan lipstik 
pada bibir memekar senyuman kosmetik, 
tetapi pada keperibadian terpelihara
kelembutan kesopanan memghiasi jiwa.

cantiknya seorang wanita itu sebagai hawa
tidak kerana bijak meruntum iman kaum Adam
tetapi menjadi pembakar semangat perwira,
menjadi tunjang perjuangan syuhada.

cantiknya wanita itu sebagai Muslimah 
bukan kerana keindahan paras rupa
sehingga menjadi igauan mata,
tetapi berpegang akidah solehah di sebalik tirai jiwa
mengandam rindu kekasih pasrah di atas sejadah,
mengharap kerdhaan dari-Nya..

wallahua'lam :)) ukhti liyana :))

Ciri-ciri suami pilihan

KASIH manusia sering bermusim,
sayang manusia tiada abadi.
Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janji-Nya pasti.

ITULAH sedikit dari bait-bait lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, secara ringkas pilihlah seorang lelaki yang…

- Kuat agamanya
Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara iman anda.

- Baik akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.

- Tegas mempertahankan maruah
Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam? Adakah dia jujur sebagai pelindung maruah seorang perempuan?

- Amanah
Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, bila berjanji tidak ditepati, lupakan saja si dia.

- Pemurah tetapi tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

- Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

- Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.

- Rakan pergaulannya
Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.

- Bertanggungjawab & setia
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tidak bertanggungjawab. Setia mengharungi hidup bersama walau susah mahupun senang.

- Tenang wajah
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya.

INSYAALLAH :))

Rabu, 18 Mei 2011

Bolehkah berCINTA sebelum berKAHWIN?

Cinta adalah fitrah (komponen kejadian manusia). Firman Allah, "Fitrah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah itu." maksud surah Ar-Rum : 30

Imam Ibn Qayyim menjelaskan cinta adalah fenomena universal dan ia memberi kesan yang mendalam kepada jiwa manusia hinggakan dalam sastera Arab menghasilkan lebih dari 60 istilah cinta. Dunia Melayu pun apa kurangnya. Syeikh (alMarhum) Abdullah Nasih Ulwan berpendapat, Islam mengiktiraf cinta yang bersemi pada setiap individu dan Islam telah menggariskan TIGA tahap cinta :

1)Cinta Agung
    Cinta kepada Allah, Rasul dan Islam serta berjihad membuktinya.

2)Cinta pertengahan
     Cintakan sesama manusia : ibubapa, anak-isteri, kaum kerabat dan sahabat handal.

3)Cinta bawahan
      Menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan Islam.

Bolehkah pasangan bukan muhrim bercinta sebelum kahwin?

Syeikh Atiyyah Saqr menjawab : kenapa tidak? Cinta adalah suci, cinta dalam bentuk apapun dibolehkan oleh syarak asalkan tidak dikotori dengan niat dan aksi kotor, ia mestilah tidak bercanggah dengan hukum-hukum syarak dan diiringi dengan cinta yang diredhai oleh Allah.

Cinta sejati boleh dibina sebelum berkahwin asalkan cinta yang direstui agama, dilahir dan dipupuk melalui saluran agama. Islam tidak menentang cinta kerana cintalah asas dalam ibadah antara hamba dengan Penciptanya, manakala cinta jugalah asas kepada pembentukan sebuah keluarga Islam yang harmonis.

Cinta yang dibanteras oleh Islam ialah cinta yang dicemari oleh maksiat dan menuruti hawa nafsu, manakala mereka yang memupuk cinta tapi tetap berpegang kepada ajaran Allah dan mengikuti saluran syarak adalah diharuskan oleh syarak dan seterusnya memandu cinta melalui jalan pernikahan yang sah dan halal.

Rujukan :
1. Syeikh (Prof) Abdullah Nasih Ulwan, Islam wal Hubb (Islam dan Cinta)
2. Syeikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul Hayah (Islam dan permasalahan hidup)
3. Ibn Qayyim al-Jauziah, raudhah al-muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (taman orang-orang bercinta dan kerinduan)

Wanita..akal senipis rambutnya..

Jangankan lelaki biasa.. 
nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.. 
tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.. 
masih mencari walau ada segalanya.. 
apa yang ada di dalam syurga.. 
namun Adam tetap rindukan Hawa.. 
dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.. 
untuk diluruskan oleh lelaki.. 
tetapi seandainya lelaki itu tidak lurus.. 
mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.. 

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah.. 
kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.. 
didiklah mereka dengan panduan dariNya.. 
jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta.. 
kerana nantinya mereka semakin liar.. 
jangan hiburkan mereka dengan kecantikan.. 
kerana nantinya mereka semakin menderita.. 
kenalkan mereka kepada Allah.. 
zat yang kekal.. 
disitulah punca kekuatan dunia.. 

Akal senipis rambutnya tebalkan ia dengan ilmu.. 
hati serapuh kaca kuatkan dengan iman.. 
perasaan selembut sutera hiasilah dengan akhlak.. 
suburkanlah ia kerana dari situlah 
nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb.. 
bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan.. 
ia bukan diskriminasi Allah.. 
sebaliknya disitulah kasih dan sayang Allah.. 

Wanita yang lupa akan hakikat kejadiannya.. 
pasti tidak akan terhibur.. 
dan tidak akan menghiburkan.. 
tanpa iman,ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus.. 
bahkan akan semakin membengkok.. 
itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya.. 

Bila wanita menjadi durhaka.. 
pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara.. 
lelaki pula jangan mengharapkan ketaatan semata-mata.. 
tapi binalah kepimpinan.. 
pastikan sebelum wanita menuju Illahi.. 
pimpinlah diri kepadaNya.. 
jinakkan diri kepada Allah.. 
nescaya jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu.. 
janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra r.a.. 
seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali karamallahuwajhah.. 

oleh:AA Abdurrahman 

Wanita Solehah

Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Sebagaimana sabda Baginda bermaksud : " Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling insah ialah wanita yang solehah."
(Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global. Jika ditelusuri dalam lembaran Al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting iaitu :

1. Wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

2. Wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

3. Wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelali yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Sejarah Islam sebenarnya melahrikan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga muslimah dewasa ini. Mereka adalah golongan wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah bt Muzahim, isteri Firaun; Maryam bt Imran, ibunda Isa; Khadijah bt Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w dan Fatimah bt Muhammad, puteri kesayangan Baginda." (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula adalah simbol bagi wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah, anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya, isteri yang setia dan taat di ahdapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan muslimah solehah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan setiap muslim yang bakal melangkah ke alam perkahwinan agar berhati-hati dalam memilih calon isteri.

Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana ia adalah antara ciri kesolehan isteri yang dituntut Islam, di samping bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya, janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu, sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu." (Riwayat Abdullah ibn Humaid)

Jelas di sini, bahawa aspek keagamaan dalam diri seseorang isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga yang dibina dan dibentuk.

Ini kerana agamanya yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, dia pasti akan taat kepada suaminya pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

Isteri solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruhanya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang bermaksud : "...perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah.." (Surah An-Nisa:34)

Malah isteri yang solehah ingatannya sentiasa segar dengan pesanan baginda yang bermaksud " Jika seseorang wanita menunaikan silat lima waktu, berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, mentaati suaminya, nescaya dia dapat masuk ke mana-mana saja pintu syurga menurut kehendaknya." (Riwayat Imam Ahmad)

Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa dan keadaan. Ini kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang melayakkan menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.

Sabda Rasulullah bermaksud : " Mana-mana isteri yang meninggal dunia, sedangkan suaminya reda kepadanya, nescaya isterinya akan masuk syurga." (Riwayat Al-Hakim dan Tarmizi)

Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya yang juga penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Dengan agamanya itu, seseorang ibu mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat, bukan saja kepada ibu bapa bahkan taat kepada Allah.

Agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Demikianlah betapa besarnya fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.

Akhirnya, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya : "Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menilak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...