Sabtu, 2 April 2011
Menulis Blog untuk Amalan Semasa di Alam Kubur
Siapa tahu, menulis blog juga merupakan satu cabang untuk berdakwah? Teknologi yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini harus digunakan sewajarnya, agar dapat memberi impak positif kepada umat manusia.
Fenomena blogging telah lama melanda masyarakat dunia. Tidak terkecuali masyarakat Malaysia. Jutaan blog dihasilkan, dan para blogger masing-masing bersaing agar blog mereka mendapat tempat di hati para pembaca.
Namun, sedarkah kita, dengan menulis blog juga, insya Allah akan membawa kebaikan kepada kita semasa kita berada di alam barzakh. Kenapa? Tak percaya? Mari kita rungkai perkara ini berdasarkan sebuah hadis yang masyhur.
Hadis yang masyhur yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ
Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali karena tiga hal sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.
[HR Muslim]
Hal yang kedua, Rasulullah SAW telah menyatakan 'ilmu yang bermanfaat'. Ini adalah suatu perkhabaran gembira bagi penyampai-penyampai ilmu, asalkan mereka tidak menyampaikan ilmu yang menyimpang. Perkhabaran gembira ini haruslah digarap sebaik-baiknya oleh kita, khususnya para penulis blog.
Tulislah perkara yang baik-baik, insya Allah orang lain akan dapat manfaatnya. Butang 'share' memudahkan lagi ilmu di blog kita untuk dikongsi. Maka, ramailah umat yang dahagakan ilmu akan mendapat manfaat hasil daripada penulisan kita.
Dari sini, pahala yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW tidak akan putus, selagi mana ilmu itu terus disampaikan dan diamalkan. Tambahan pula, blog kita terus berkekalan di alam maya dan boleh dibaca 24 jam.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menyambut baik perkhabaran gembira daripada kekasih Allah ini dengan menulis perkara-perkara yang bermanfaat untuk umat manusia. Lebih baik menulis kerana Allah, daripada menulis tentang gossip, fitnah, dan politik kotor.
Amatlah rugi sekiranya kita tidak menyambut perkhabaran gembira ini. Gunakanlah sebaik-baiknya teknologi yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini. Meskipun ia dibangunkan oleh kaum kafir, ia tidak salah untuk dijadikan uslub dakwah, kerana ia tidak ada kaitan dengan aqidah.
Wallahu a'lam
*****
تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)
[al-Mulk (67):1- 2]
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan