Blogger Layouts

I made this widget at MyFlashFetish.com.

zikrullah n doa

Sabtu, 2 April 2011

SIFAT REDA

Bagaimana kita nak jadikan diri kita supaya dapat tabah dan sabar akan setiap ujian dan musibah yang menimpa kita? Kita mestilah belajar untuk menerima atau reda akan setiap ujian yang Allah s.w.t. turunkan kepada kita. Sentiasalah kita bersangka baik akan setiap apa yang Allah berikan kepada kita sama ada nikmat atau musibah, kedua-duanya ada hikmah disebaliknya yang hanya Allah s.w.t. tahu akan semua itu. Jangan mudah melatah akan musibah yang Allah s.w.t. berikan kepada kita, takut-takut boleh membuatkan kita jauh dari hidayah-Nya. Kita kena terima setiap musibah yang melanda diri kita dengan hati yang tenang dan sabar. Sekiranya kita terasa amat sedih dan perit dan tidak tahan akan ujian yang Allah s.w.t. berikan kepada kita, merintih dan mengadulah pada Allah s.w.t., dari situlah akan hadir hati yang redha akan ujian yang diberikan oleh-Nya dan kekuatan akan terbit dari rintihan dan aduan kita di dalam doa kita. Contohnya kita berdoa:


“Ya Allah, Ya Tuhanku, sesungguhnya hatiku terasa amat perit dan lemah akan ujian yang Engkau berikan padaku, namun siapalah diriku untuk merungut akan apa yang Engkau berikan padaku, Aku hanyalah hamba yang hina dan penuh dengan dosa. Ya Allah, pada-Mu jua aku mengadu akan apa yang aku rasakan, kerana hanya Engkau tempat hamba mengadu dan aku reda setiap apa yang Engkau berikan pada diriku, oleh itu Ya Rahim, aku memohon akan kekuatan dan ketabahan dari-Mu agar kuat menerima ujian dari-Mu.” Amin

Doa boleh menjadikan kita menjadi tabah dan kuat dalam menghadapi ujian dan musibah yang melanda diri. Doa itu mendekatkan seseorang hamba dengan penciptanya, itulah mengapa yang dikatakan `doa itu senjata mukmin’. Dalam doa itu sendiri mempunyai suatu kuasa motivasi bagi yang ketahui akan hakikatnya. Cuba fikir, bila kita berdoa agar dikuatkan iman, terdetik dari itu kita berusaha dengan sepenuh dan seupaya kita untuk memperkuatkan iman kita. 

Berbalik kepada reda, kita tidaklah boleh reda sahaja tanpa berusaha ia telah lari dari konsepnya. Reda itu, bila kita telah berusaha sekuat dan sepenuhnya dalam sesuatu perkara itu, tetapi apa yang diusahakan itu tidak mendatangkan hasil atau tidak berjaya, dan semua itu diterima dengan hati yang tenang tanpa merungut sebaliknya bersangka baik pada Allah.
Daripada ‘Abbas bin Abdul Muttalib, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Akan merasakan manisnya iman; seseorang yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasulnya.”(Riwayat al-Bukhari)

Reda itu merupakan salah satu sifat yang mulia, menerima akan seadanya, tidak pula merungut akan apa yang dia terima. Kerana dia tahu, sesungguhnya itulah apa yang Tuhan mahu akan hamba-Nya. Sentiasa menyerahkan diri pada Allah s.w.t. Teguh dengan apa yang diberi, tiadak berputus asa, sebaliknya mempertingkatkan usaha dengan penuh usaha dan terus menerus melakukan sesuatu perkara itu sehingga berjaya, segalanya disandarkan kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh. Mari kita hayati kisah ‘Urwah bin al-Zubair yang memiliki sifat reda yang tinggi- ketika beliau dalam perjalanan ingin ke Syam kerana dijemput oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik ke istananya, kaki beliau terasa sakit, dan tidak lama kemudian timbul sebuah bisul pada kakinya yang akhirnya pecah dan menjadi luka. Setibanya beliau di Syam, Khalifah membawa seorang tabib kepadanya untuk memeriksa kakinya yang luka itu. Tabib itu pun menyimpulkan bahawa luka itu merupakan suatu jangkitan yang mana perlu dihentikan dengan segera, jika tidak ia akan merebak ke seluruh badan. Dan ia perlu dihentikan penyebarannya dengan memotong kaki tersebut.

‘Urwah setuju kakinya dipotong. Sebelum operasi dilaksanakan, Tabib itu menyarankan agar beliau meminum ubat bius agar tidak terasa sakit. Tetapi, ‘Urwah menolak. Beliau ingin dalam keadaan sedar sehingga dapt menggingati Allah meski pun harus merasa kepedihan yang sangat menyiksa. Akhirnya, tabib itu memotong kakinya dengan gergaji. subhanalLah! Beliau langsung tidak mengeluarkan suara kesakitan sepanjang operasi dilaksanakan.

Dan pada masa yang sama juga. Beliau mendapat berita yang mengatakan anaknya ditimpa kemalangan. Anaknya mati akibat ditendang oleh keldai. Tetapi, tidak member sebarang komen. Setelah itu, dalam perjalanan pulang ke Madinah, ada yang terdengar `Urwah berkata: “Ya Allah, Engkau memberiku tujuh orang anak, Jika Engkau mengambil satu orang, Engkau masih meninggalkan enam yang lainnya. Dan Engkau memberiku empat anggota (dua tangan dan dua kaki). Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga yang lain. Masya Allah, sungguh hebat tokoh besar ini, sentiasa ada alas an untuk bersyukur kepada Allah. Teman-teman, inilah yang dikatakan tingkatan reda yang paling tinggi. Tetap mencari alas an untuk bersyukur kepada Allah, tidak pula merungut akan musibah yang menimpanya dan tidak juga menyalahkan sesiapa atau apa yang menyebabkannya berlaku. Bagaimana pula kita? Adakah kita akan menyalahkan sesiapa yang berkaitan atau mahu mencontohi sifat ‘Urwah? Terserah pada anda untuk memilihnya, fikirlah dengan panduan imanmu bukan nafsumu, pasti sinar yang akan menerangi dirimu. Jadi, berusahalah untuk reda dengan musibah yang menimpa. 

Ingatlah juga wahai temanku, dengan reda tidak bererti engkau berserah sepenuhnya tanpa melakukan apa-apa, itu konsep yang salah. Inilah yang selalu dilakukan oleh segelintir umat Islam kerana tidak faham akan konsep reda yang sebenarnya. Bagi mereka yang beranggapan begitu, sesungguhnya mereka seperti orang yang berangan yang tidak melakukan apa-apa, tetapi bila menghadapi sesuatu kesulitan atau musibah, contohnya rumah seorang penduduk kampong itu mengalami kebakaran, dia hanya melihat dan dia berkata “aku reda”, dia tidak melakukan apa-apa usaha untuk memadamkan kebakaran tersebut sedangkan dia mampu untuk memadamkan kebakaran tersebut. adakah ini yang dikatakan reda? Tidak, bukan ini yang Allah s.w.t. mahukan dari hambanya. Allah tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita yang mengubahnya. Allah akan reda pada hamba-Nya yang reda akan musibah yang menimpanya. Oleh itu, berusahalah menjadi hamba yang reda, usah diratapi, tetapi diterimanya dengan penuh kesyukuran yang amat pada Allah s.w.t.

Mengapakah engkau hanya berdiam diri?
Sedangkan engkau mampu untuk berdiri,
Engkau mudah berputus asa,
Lupakah engkau sebaik-baik ciptaan-Nya,

Berusahalah untuk mencapai matlamatmu,
Kerana ini adalah jalan hidupmu,
Jangan gusar akan ujian yang menimpa,
Kerana ia adalah tanda kasih Yang Maha Esa,

Engkau dicipta bukan untuk selamanya hidup,
Hidupmu tidak akan sentiasa gelap,
Berusahalah untuk mencari sinar kebenaran,
Carilah sinarannya dengan penuh keredaan,

Oleh itu, Reda merupakan cara yang sesuai untuk melunakkan hati kita agar mudah menerima setiap kenyataan juga menjadi insan yang kamil dan sentiasa terikat dengan Penciptanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...