Blogger Layouts

I made this widget at MyFlashFetish.com.

zikrullah n doa

Rabu, 16 Mac 2011

Surat Untuk Akhi...ehem~ khas untuk kamoo

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.:)

Akhi fi al Islam,
   Sebelum pena ini mula menari menulis apa yang direncana, ana doakan agar ia jauh daripada fitnah syaitan laknatullah apatah lagi daripada murka Allah S.W.T. Walaupun terasa sangat berat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati namun dengan izin Allah S.W.T setelah melakukan solat istikharah (Subhanallah.. moga ini bukan riak), ana yakin ini adalah lintasan yang benar dan dipandu oleh petunjuk Allah S.W.T. untuk ana menzahirkan apa yang lama terpendam. Semoga Dia mempermudahkan agar senang difahami dan tidak disalah ertikan nanti.

Akhi,
   Memang telah agak lama tiada khabar berita, namun bukan bererti ana cuba berlagak sombong atau bangga diri terhadap akhi apatah lagi mempunyai niat untuk menyakiti hati akhi. Sepanjang ukhwah yang terjalin ini, ana telah cuba untuk berlaku seadilnya sebagai seorang sahabat yang baik untuk semua namun apakan daya bukan hasrat setiap orang dapat kita penuhi. 
   Sesungguhnya apa yang berlaku benar-benar menuntut pertimbangan yang waras dan pengorbanan yang jitu andai kita tidak ingin tewas. Segala perlakuan dan tutur bicara akhi telah membuatkan sel-sel neuron ana semakin pantas mengemudi penilaian ini, sejauh mana keikhlasan kita dalam menjalinkan ukhwah yang suci kerana Allah S.W.T.? Tetapi kenapa perlu kita berjumpa? Kenapa perlu sms selalu? Kenapa perlu misscall selalu? Kenapa perlu dengar suara? Subhanallah. Kadang-kadang tanpa kita sedari natijahnya, hati bisa dirasuk oleh perasaan halus yang didalangi nafsu syaitan, yang menyelinap penuh senyap-senyap. Jangan biarkan ia mencemari ukhwah kita. Maafkan ana sekiranya kata-kata ini melukakan hati.

   “Enti meragui keikhlasan dan kejujuran ana terhadap enti ke?”
   
   Sebagai orang asing dalam hidup ana, akhi seharusnya sedar bahawa ana memang berhak meragui diri akhi. Alhamdulillah pendidikan agama asuhan keluarga yang disemai sejak kecil masih terpasak teguh membina jati diri ana. Ana perlu tahu menjaga diri tanpa terburu-buru menghadiahkan kepercayaan dan keyakinan kepada orang lain, apatah lagi orang yang berada di luar lingkungan rumah ana. Sememangnya penilaian tidak boleh dibuat berdasarkan luaran semata-mata, malah yang lebih penting adalah dalaman insani yang mana kemuliaannya pasti ditunjangi aqidah. Buku tidak dinilai berdasarkan kulitnya semata-mata, ya itu benar. Tetapi siapa tahu apakah yang terbuku di sebalik wajah lahiriah? Apakah tolok yang paling jitu tanpa ralat untuk mengukur darjah keikhlasan seseorang? 
   Benar, siapalah ana untuk menilai keikhlasan diri orang lain, apatah lagi mendabik dada mengakui keluhuran hati sendiri. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Janganlah hendaknya kita lupa, darjah pangkat manusia di sisi Allah dinilai berdasarkan ketaqwaan kepadaNya. 
   “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah S.W.T., nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (al-Anfal:29)
   Akhi, sebelum kita beria-ia mengidamkan kepercayaan manusia atas ketulusan kita, ada baiknya kita persembahkan keluhuran hati itu kepada Allah S.W.T. kerana sesungguhnya diterima di sisiNya sebagai hamba yang taat itu jauh lebih baik daripada dimuliakan oleh insan dalam tepuk sorak syaitan. Na’uzubillahiminzalik.
   
   “Enti tahu bukan, ana sudah berusaha sedaya upaya untuk berjaya sebagai yang terbaik. Ana juga berusaha untuk ke overseas. Kita bakal menjadi doktor. Entilah yang mendorong ana untuk berusaha sampai ke tahap ini. Ana berusaha menjadi apa yang enti impikan.”


   Masya Allah. Astaghfirullahalazim.Kenapa mesti akhi niatkan sebegitu? Kenapa mesti akhi niatkan untuk menjadi doktor kerana.. kerana ana? Niat akhi kerana ana? Kerana impian ana? Kenapa? 

   Ya Allah, aku memohon keampunanMu andainya aku telah melalaikan khalifahMu di atas bumi ini ya Allah. Ya Allah, aku memohon perlindunganMu agar memeliharaku daripada menjadi asbab kepada khalifahMu untuk lalai dalam melaksanakan ibadah yang sepatutnya mutlak keranaMu. 

   Ana tak minta akhi buat semua itu kerana ana. Siapalah ana untuk didedikasikan apa yang akhi lakukan. Ana tak minta dikasihi melebihi Pencipta kita. Sesungguhnya, hanya Dialah yang berhak dicintai melebihi segala-galanya. Dia yang telah menciptakan kita daripada titisan yang hina hingga menjadi manusia yang sempurna, menghirup limpahan nikmatNya dalam setiap titis nafas kita. Ana khuatir, kalau-kalau akhi terlupa akan perjuangan kita sebagai da’ie di bumi Allah S.W.T. ini. Kita khalifah yang berkelana di bumi ini dengan amanah yang berat untuk dilaksanakan, kecuali bagi yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Akhi, pandanglah hakikat kejadian kita ini dengan mata batin, bukan hanya dengan sepasang mata zahir yang dikurniakan Allah. Kita diciptakan untuk beribadah kepadaNya, ikhlas keranaNya, bukan kerana hambaNya. 
   Profesion yang didoakan menjadi destinasi kita sekarang menuntut pengorbanan yang tinggi dan sangat mulia jika diiringi oleh niat yang betul dan ikhlas kerana Allah Taala. Alangkah ruginya jika akhi membataskan matlamat perjalanan akhi ini kerana makhluk ciptaan Allah sahaja, sebaliknya lihatlah dengan konteks yang lebih meluas. Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki diri dan memperbetulkan niat dalam setiap tindakan.

   “Berilah ana peluang untuk menjelaskan semuanya. Ana ikhlas nak mengenali enti. Boleh kita jumpa untuk lebih mengenali?”
   Subhanallah. Tidak cukupkah selama ini perkenalan kita? Untuk apa – dan apakah yang akhi maksudkan dengan – lebih mengenali? Adakah untuk membuka ruang kepada syaitan untuk memasuki lompong-lompong kelemahan dalam diri kita? Tidak ingatkah akhi, hadis Rasulullah S.A.W., apabila berduaan wanita dan lelaki, yang ketiganya adalah syaitan? Tidak takutkah akhi, dengan mengenali dengan lebih dekat seorang wanita, dapat menimbulkan fitnah kelak. Sebelum baginda wafat, Rasulullah S.A.W. pernah berpesan bahawa fitnah terbesar pada akhir zaman datang daripada golongan Hawa. Semoga diriku yang lemah ini dipelihara oleh Allah S.W.T. daripada menjadi alat syaitan, apatah lagi mangsa bisikannya. 
   Akhi, bukan prinsip ana untuk keluar dengan lelaki yang bukan mahram untuk ‘saling mengenali’. Ukhwah yang terjalin ini pun sudah dikira anugerah Allah S.W.T. yang sepatutnya kita hargai. Sudah berapa banyak tasbih dan tahmid yang ana lafazkan sebagai panjatan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas ikatan persahabatan ini? Akhi, adik akhi adalah kawan ana, dan terjalinnya ukhwah ini pun berpunca daripada kawan ana. Ana sungguh janggal untuk berkenal-kenalan dengan lelaki, memandangkan kawan lelaki  ana hanyalah kawan sewaktu sekolah rendah. Apabila memasuki sekolah menengah, ana berpeluang ke sekolah berasrama penuh yang khas untuk pelajar puteri sahaja, sementelahan pula, penekanan dan pengamalan agamanya adalah praktikal di sana. Ustaz dan ustazahnya pun sangat baik. Syukur sangat-sangat. Berbalik kepada persoalan tadi, ana ingin bertanya, apa perlunya pertemuan yang akan menimbulkan fitnah dan melalaikan kita daripada mengingati Allah S.W.T.?
   Astaghfirullah. Ya Allah, jauhilah diriku daripada menjadi punca fitnah kepada hambaMu yang lain. Jauhilah diriku daripada perkara yang mendatangkan kemurkaanMu. Ya Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

   Akhi,
   Selagi ana belum berumahtangga, ibu bapa analah yang paling berhak ke atas diri ana. Apapun keputusan yang ana ambil kena minta persetujuan mereka. Restu mereka terlalu mustahak dalam hidup ana. Ibu bapa perlu diberi keutamaan, kerana insya-Allah, restu mereka akan mengundang kebahagiaan buat anak-anak. 
   Tidak perlulah akhi merancang untuk mengumpul duit yang banyak untuk membawa ana ke Mekah hanya kerana itu adalah impian akhi bersama bakal isteri akhi nanti. Dahulukanlah ibu bapa akhi, bahagiakan mereka terlebih dahulu. Kebahagiaan mereka juga adalah kebahagiaan ana. Simpanlah duit akhi untuk berbakti kepada mereka, bukan kepada diri ana. Bawalah mereka ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji terlebih dahulu. 
   Janganlah menjadikan diri ana sebagai asbab untuk akhi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang soleh. Walaupun selepas kahwin, syurga akhi masih terletak di bawah tapak kaki ibu akhi. Sebaliknya, untuk ana, restu suami itu adalah yang paling utama sesudah ijab kabul. Kunci pintu syurga bagi seorang isteri adalah suaminya.  
   Ibu bapa mentua sama tarafnya, sama tuntutan ketaatan ke atas mereka, seperti ibu bapa sendiri. Seperti mana ana mengasihi, menyayangi, dan mencintai ibu bapa ana, begitu jugalah tumpahnya kasih sayang dan cinta ana kepada bakal mentua nanti. Semoga Allah menjadikan segalanya mengikut ketentuanNya. 
   
   Akhi,
   Pada akhir kalam ini, ana ingin memohon maaf atas keterlanjuran sepanjang ukhwah kita ini. Tidak perlulah bagi akhi untuk membalas helaian ini supaya ia tidak menambah lagi noda-noda hitam dalam diri ana nanti. Cukuplah akhi mengetahui apa yang tersirat dalam hati ana. Semoga ukhwah yang didasari dengan cinta Allah akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah S.W.T.
   Yakinlah dengan janji Allah, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik, serta demikianlah juga sebaliknya. Insya-Allah jika kita sama-sama menjaga batas pergaulan yang dituntut syara’, jodoh kita akan soleh dan solehah. Sememangnya setiap Muslim mengimpikan wanita solehah bak bidadari syurga yang bakal memberikan syurga di dunia. Demikian juga Muslimah yang mengimpikan mujahid Allah S.W.T. yang setia dan mampu membimbing dirinya ke jalan kebenaran, yang akan mengajaknya kepada Rabbul Izzati ketika dirinya lemah, yang akan meyakinkan dirinya bahawa kemanisan iman akan sentiasa menaungi hati-hati yang bertaqwa, yang selalu memberi peringatan kepadanya tatkala dirinya lupa atau ragu akan nikmat dan rahmat Allah. Subhanallah.
   Sekiranya telah ditakdirkan terbuka pintu hati ana untuk menerima suami ana nanti, insya-Allah tanpa ragu-ragu lagi akan diserahkan sepenuhnya cinta ini dengan didasari oleh cinta kepada Ilahi. Jodoh dan pertemuan di tangan Allah S.W.T., kita merancang dan Allah juga merancang, namun perancangan yang terbaik adalah dari Allah S.W.T. Ana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah S.W.T. untuk menentukan bakal zauj ana. Ana yakin dialah yang terbaik untuk diri ana nanti kerana Allah telah menetapkannya. Harapnya akhi pun begitu juga. Semoga Allah mempermudahkan pertemuan dan jodoh kita dengan insan yang diredhaiNya nanti. Letakkanlah keyakinan, gantungkanlah harapan dengan Allah. Redhalah dengan ketetapanNya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui segalanya!

   Oh Allah S.W.T., diriku telah meletakkan dan memberikan sepenuhnya hati ini kepadaMu untuk dilindungi daripada sebarang kejahatan yang akan merosakkan kemuliaannya. Oh Allah S.W.T., andainya hati ini ingin Kau berikan kepada makhluk ciptaanMu, berikanlah kepada khalifahMu yang turut mencintaiMu supaya hatiku tidak pernah berhenti daripada berzikir kepadaMu dan rahmatilah diriku dengan limpahan kasih sayangMu ya Allah. 
 
   Ya Allah jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati,izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu...Ya Rabbana ,jika aku jatuh hati jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu.....Ya Rabbul Izzati ,jika aku rindu ,rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan Mu....Ya Allah ,jika aku menikmati cinta kekasihMu janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu. Ya Allah ,jika aku jatuh hati pada kekasihMu jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu..Ya Allah jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu...
 

wallahua'lam.. :)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...